Ahad, 11 Disember 2011

Pemuda Permatang Pauh Anjur Khatan Perdana


MOHD. Zaidi Mohd Said bersedia untuk menyembur air kepada sebahagian daripada 250 kanak kanak yang berkhatan di Permatang Pauh Pulau Pinang, semalam.


PERMATANG PAUH 4 Dis. - Seramai 250 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun menyertai majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh di Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh di sini hari ini.

Upacara itu disempurnakan oleh Ketua Pemuda UMNO bahagian tersebut, Mohd. Zaidi Mohd. Said dan acara perasmian dilakukan secara simbolik dengan kesemua peserta mandi beramai-ramai melalui air siraman jentera Bomba dan Penyelamat Kawasan Permatang Pauh.

Mohd. Zaidi ketika ditemui memberitahu, acara berkhatan itu merupakan acara terbesar yang dikendalikan oleh Pergerakan Pemuda Bahagian Permatang Pauh pada tahun ini dengan melibatkan penyertaan murid-murid dari empat buah sekolah rendah dalam kawasan berkenaan.

Katanya, sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pauh; SK Permatang Pasir; SK Guar Perahu dan SK Tok Kandu.

''Acara ini merupakan satu usaha Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat. Sebelum ini kita hanya melakukannya secara kecil-kecilan dengan penyertaan antara 30 hingga 40 orang.

''Walaupun baru pertama kali dibuat secara besar-besaran, kami tidak sangka penyertaan amat menggalakkan dan setakat petang semalam sahaja 250 kanak-kanak telah mendaftar. Ada juga ibu bapa yang baru mendaftar anak mereka hari ini," katanya.

Menurutnya, seramai 10 doktor dari Hospital Besar Kepala Batas di bawa khas ke SK Permatang Pauh untuk melakukan perkhidmatan berkhatan berkenaan.

Tambahnya, para peserta pada majlis berkhatan itu juga tidak dikenakan sebarang bayaran dan semua kos ditanggung Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh yang telah memperuntukkan RM30,000 bagi tujuan berkenaan.

''Semua penduduk kawasan ini boleh mendaftar anak mereka untuk berkhatan tidak kira mereka siapa dan dari parti mana. Begitu juga pendapatan keluarga. Tiada had dan kita tidak mengenakan sebarang bayaran.

''Selain dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan dan mempunyai anak yang ramai, program ini juga dapat menghimpunkan anggota masyarakat untuk saling beramah mesra serta mewujudkan semangat kekeluargaan dan perpaduan," katanya.