Sabtu, 5 Mei 2012

Pemuda UMNO sumbang kamus untuk murid SK Guar Perahu


Mohd. Zaidi Mohd Said (baju merah) bersama murid Tahun Enam serta guru selepas majlis penyampaian Kamus Dwibahasa Oxford Fajar bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu, Pulau Pinang, semalam.
PERMATANG PAUH 4 Mei - Pemuda UMNO Bahagian permatang Pauh hari ini menyerahkan kamus kepada 126 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Perahu di sini bagi membolehkan pelajar menjadikannya sebagai bahan rujukan.
Majlis penyerahan kamus bernilai RM2,000 itu disempurnakan oleh Ketua Pemuda UMNO bahagian, Mohd. Zaidi Mohd. Said kepada murid yang terlibat.
"Sumbangan kamus ini bagi membolehkan pelajar termasuk murid miskin menjadikannya sebagai bahan rujukan berfaedah kepada mereka," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya memberi sumbangan kamus dwibahasa tersebut setelah mendapat permohonan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu pada Mac lalu.
Seorang pelajar, Nor Arifah Suhaidi, 12, berkata, dia gembira menerima kamus itu dan akan menggunakannya untuk pembelajaran di sekolah dan di rumah.
Rakannya, Mohd. Irwan Shah Solleh, 12, berkata, kamus itu dapat membantunya dalam pelajaran bahasa Inggeris.
"Saya mahu mahir dalam bahasa Inggeris dan akan menjadikan kamus ini sebagai rujukan," katanya.